Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Dr Awang Sariyan berucap pada Sidang Media Teater 'Cikgu Anda' di Hotel Grand Barakah, Ampang. Foto FAREEZ FADZIL, 01 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan, Jalur Gemilang berfungsi sebagai lambang kedaulatan negara dan tidak wajar dipersendakan dengan apa-apa cara pun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pengendali media wajib bertanggungjawab memastikan kedaulatan negara tidak dipermainkan.

Ujarnya, segala perkara berkaitan Jalur Gemilang seperti penerbitan, percetakan dan peragaan memerlukan ketelitian.

“Jika diperagakan, tidak wajar bendera dipasang terbalik. Jika diterbitkan atau dicetak, tidak wajar ada kecacatan apatah lagi kehilangan unsur penting seperti bulan sabit.

“Pentingnya menjaga kesempurnaan bendera negara sama dengan pentingnya menjaga lagu kebangsaan `Negaraku’ yang mesti dinyanyikan dengan melodi dan sebutan yang betul.

“Oleh yang demikian, bendera (Jalur Gemilang) sebagai lambang kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan dengan apa-apa cara pun sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Penerima Anugerah Persahabatan Kerajaan China bersempena Hari Kebangsaan ke-75 negara itu menyatakan demikian kepada Malaysia Gazette ketika mengulas penerbitan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit oleh dua organisasi akhbar, beberapa hari lalu.

Menurut Awang, dalam kes penerbitan akhbar, ada tatacara yang piawai yang perlu dilalui dalam proses penerbitan.

Katanya, teks dan grafik yang hendak diterbitkan perlu disemak oleh penyunting manakala semakan akhir dilakukan oleh ketua penyunting sebelum bahan itu dicetak.

Beliau menegaskan, akhbar yang termasuk dalam kategori media arus perdana dan telah lama beroperasi tidak wajar menjadikan alasan `kesilapan’ apabila bulan sabit hilang daripada Jalur Gemilang ketika diterbitkan.

“Ada tatacara penerbitan yang perlu dipatuhi. Media berperanan penting membentuk sikap hormat, setia dan cinta kepada negara,” ujar beliau yang pernah dilantik sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China pada 2007.

Isu penyiaran Jalur Gemilang yang disifatkan `cacat’ oleh sebilangan masyarakat menimbulkan perdebatan umum kerana ia disifatkan tidak munasabah dan disengajakan.

Terbaharu, pengeluar makanan bayi, Singapore Lactation Bakes (SLB), tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia, di sini.

SLB menyertai pameran perdagangan produk bayi di pusat pameran sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily turut memohon maaf kerana mendakwa tersilap memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan edisi Selasa lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan siasatan terhadap Kwong Wah Yit Poh yang memuat naik imej Jalur Gemilang tidak sempurna dalam satu hantaran Facebook yang memaparkan muka hadapan edisi petangnya, juga pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here