PUTRAJAYA – Perkeso Run & Ride 2025 yang memasuki edisi penganjuran kali kelapan tahun ini melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peserta yang menyertai acara larian sejauh tiga, enam dan 10 kilometer (km) serta kayuhan santai sejauh 35 km.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited dalam usaha mempromosi kesihatan dalam kalangan pekerja melalui penganjuran pelbagai program lain termasuk Program Saringan Kesihatan (HSP) HSP.
Bahkan, menurut beliau, Perkeso melaksanakan Kempen Tolak Gula sejak Mac tahun lalu, melibatkan anggotanya di seluruh negara, selain diperluas ke seluruh rakyat Malaysia.
“Pendekatan ini adalah sebahagian usaha memupuk kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan pekerja dan masyarakat umum kerana kita tidak boleh memandang enteng risiko NCD.
“Usaha ini juga selari aspirasi 3K, terutama yang menyentuh mengenai keberhasilan dan kebajikan pekerja untuk jangka panjang,” katanya pada ketika program Perkeso Run & Ride 2025, di Dataran Wawasan di sini hari ini.
Program pada tahun ini diadakan sempena Hari Pekerja 2025 dan merupakan pembuka tirai kepada Karnival Kerjaya MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang akan diadakan pada 28 April hingga 1 Mei ini di Pekarangan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Secara perbandingan, edisi penganjuran PERKESO Run & Ride pada 2023 membabitkan 7,000 peserta sekali gus menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak 30 peratus.
Selain itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti pemenang termasuk hadiah utama berupa kereta Perodua Bezza.
Mengulas lanjut, Steven berkata, data Pekerso selari laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendapati hampir 2.3 juta dewasa di Malaysia menghidap tiga jenis NCD lazim.
“Penyakit-penyakit ini antara lain membawa kepada masalah ‘tiga serangkai’ atau gabungan diabetes (kencing manis), tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
“Berdasarkan angka-angka ini, kita perlu sedar mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat kerana NCD memang berkait rapat dengan cara kita menjalani kehidupan.
“Peningkatan kesedaran terhadap perkara ini penting kerana pekerja merupakan aset penting yang menggerakkan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
