JAKARTA – Malaysia dan Indonesia perlu menggarap pendekatan serumpun baharu yang menghubungkan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gesaan itu bagi memastikan Malaysia-Indonesia dapat keluar dari kepompong tradisional yang dibentuk sekian lama antara Jakarta dan Putrajaya.
“Saya menyarankan kita (Malaysia-Indonesia) harus keluar daripada kepompong, di samping kita mempertahankan rasa kebersamaan antara Malaysia dan Indonesia.
“Namun, kita jangan hanya mengharapkan hubungan yang baik antara pemimpin, jangan juga mengharapkan nilai-nilai sentimental sahaja antara Malaysia dan Indonesia.
“Malaysia sebagai sebuah negara insya-Allah berpendapatan tinggi yang berteknologi tinggi akan berada di garisan paling hadapan dalam pemajuan ekonomi di rangka masyarakat.
“Jadi hubungan kita harus lebih daripada hubungan tradisional ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Ramah Tamah bersama Timbalan Perdana Menteri itu di Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Hadir sama adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Ahmad Zahid dan isteri, Datin Hamidah Khamis yang dalam lawatan rasmi ke Indonesia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta jam 7 petang tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara kerajaan dan peniagaan di kedua-dua negara juga perlu diperkukuhkan.
“Hubungan ini tentunya apabila dipereratkan dan diperkukuhkan kerana ia akan memberikan dividen (pulangan) politik yang baik untuk kedua-dua negara.
“Memberikan dividen baik dari segi komersial ataupun perdagangan dan memberikan pulangan baik kepada kedua-dua negara kerana kita melepasi nilai-nilai tradisional dan juga sistem konvensional yang sedia ada.
“Apa yang saya sarankan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sekarang ini kita tidak harus menghadapi apa saja cabaran terutamanya dalam penguasaan tarif oleh Amerika Syarika untuk kita bergerak secara berasingan,” katanya lagi.
Esok, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming bagi membincang serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan khususnya Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pertemuan itu juga menjurus kepada perbincangan yang dijangka menyentuh sektor industri halal, pembangunan luar bandar dan pengurusan bencana negara. – MalaysiaGazette