KUALA LUMPUR – Seorang peguam menggariskan enam alasan mengapa isu Jalur Gemilang bukan perkara remeh sebaliknya sengaja dicetak secara tidak sempurna.
Mahmud Jumaat mendakwa perbuatan itu bukan kesilapan teknikal namun bertujuan menguji maklum balas rakyat Malaysia.
“Lebih menghairankan ada pihak beragama Islam dan berbangsa Melayu cuba membela dan menjawab bagi pihak editor Sin Chew Daily kononnya mereka tersalah cetak sehingga mengatakan mereka malu adanya tindakan diambil terhadap akhbar berkenaan,” ujar beliau dalam laman Facebooknya hari ini.
Berikutan enam alasan yang dinyatakan:
1. Ruang bendera (Jalur Gemilang) mempunyai bucu yang jelas di mana letaknya bulan sabit tersebut. Korang (kamu) bukan guna software paint dekat pc (komputer) nak edit paper.
2. Jumlah bucu yang tidak cukup pada bintang bukanlah satu perkara yang melibatkan suntingan yang mudah pada gambar untuk berlakunya kesilapan teknikal kecuali ia tindakan yang disengajakan agar kurangnya jumlah bucu pada bintang tersebut.
3. Gambar tersebut terpampang jelas di muka hadapan surat khabar. Bagaimana ianya boleh diluluskan memandangkan untuk meluluskan mana-mana halaman pada muka depan memerlukan kelulusan yang ketat daripada ketua editor surat khabar.
4. Bagaimana pereka grafik dan editor-editor serta pembantu editor-editor akhbar boleh `hilang ingatan’ tidak mengetahui jumlah bucu yang ada pada bintang dan bulan sabit pada jalur gemilang;
5. Paling hairan ada pihak yang beria-ria membela dan mempersendakan tindakan diambil oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang dianggap mereka sebagai keterlaluan dan memalukan.
6. Kesalahan yang sama berulang apabila paparan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) tanpa bulan sabit di Pameran Bayi Mid Valley dibuat. So korang nak `jilat’ lagi ke? Masih dianggap remeh dan keterlaluan ke dengan kemarahan kami ini?
Dalam kenyatannya, Mahmud berkata, ia satu kecuaian serius kerana mereka seharusnya menjaga kesucian Jalur Gemilang dan sensitiviti orang melayu Islam serta institusi Raja-Raja Melayu kerana sudah pasti akan mencetus ketidakharmonian dalam masyarakat.
“Ada perkara kita perlu ambil tindakan dengan tegas agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain. Disebabkan ada pihak yang membela mereka, berlakunya perkara berulang di Mid Valley,” ujarnya. – MalaysiaGazette