Polis Diraja Malaysia

SHAH ALAM – Kejadian seorang pengawal keselamatan dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, dekat sini petang semalam, kini dalam siasatan polis.

Video yang memaparkan lelaki mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah, turut tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam pada 3.31 petang terdapat seorang lelaki warga tempatan mengacukan sebilah parang ke arah seorang pegawai perubatan.

Ujarnya, polis sebelum itu menerima panggilan daripada adik mangsa yang melaporkan lelaki berkenaan mengamuk di rumahnya di Banting.

“Susulan itu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menggerakkan anggotanya dan membawa lelaki itu ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain memohon mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here