Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berucap pada Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2025.

SHAH ALAM – Seramai 8,338 bakal haji dari Selangor mempersiapkan diri untuk fasa akhir menerusi Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kursus selama dua hari satu malam itu merupakan kemuncak kursus haji bagi memperkukuh kefahaman berkaitan tatacara pelaksanaan haji.

“Bakal-bakal haji ini telah menjalani 13 siri Kursus Asas Haji, Kursus Intensif dan hari ini merupakan hari kemuncak iaitu Kursus Perdana Haji.

“Kursus Perdana Haji ini lebih fokus kepada praktikal manasik haji yang bakal dilalui oleh setiap jemaah haji,” katanya berucap pada Kursus Perdana Haji 1446H/2025M Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1446H bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2025.

Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penutupan Kursus Perdana Haji 1446H/2025M Selangor.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Selain itu, Mohd Na’im berkata, Kursus Perdana itu dirangka bagi memberikan gambaran suasana sebenar di Tanah Suci sekaligus melatih bakal-bakal haji agar bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji.

“Saya ingin mengingatkan bakal-bakal haji untuk mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum berangkat ke Tanah Suci. Bukan sahaja dari segi persiapan barangan, tetapi lebihkan persiapan mental dan rohani, tingkatkan kefahaman ilmu agama dan ibadat haji.

“Bakal-bakal haji juga diingatkan supaya menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan dengan melakukan senaman, membiasakan diri untuk minum air dengan kerap serta bersedia dengan ubat-ubatan yang disarankan oleh pihak doktor.

“Ini kerana Hari Wukuf pada tahun ini masih lagi dalam musim panas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan boleh menarik nafas lega kerana kos haji pada tahun ini kekal RM33,300 setelah mengambil kira kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), caj perkhidmatan Arab Saudi serta pembangunan di Mekah dan Madinah.

“Tabung Haji turut menanggung kos-kos langsung seperti kos penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pengangkutan serta pelbagai caj yang dikenakan oleh pihak ketiga di Tanah Suci serta tidak langsung seperti kursus-kursus haji yang sedang berlangsung sekarang di seluruh negara.

“Walaupun dengan pelbagai cabaran pada setiap tahun, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh Tabung Haji kekal komprehensif dan di tahap tertinggi demi kebajikan, keselesaan serta keselamatan para jemaah haji Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here