PUTRAJAYA – Sebanyak 164 daripada lebih 3,000 undang-undang lapuk belum dikaji semula dalam usaha memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun mengakui kajian semula itu akan mengambil waktu yang lama untuk diselesaikan.
Menurut beliau, ini kerana pihaknya hanya akan mengkaji semula dahulu dan bukannya mereformasikan undang-undang lapuk itu.
“Sebanyak 164 undang-undang belum dikaji semula dari 3,000 maknanya sudah lebih 2,000 telah dikaji semula tapi kita bukan reform undang-undang itu, kita kaji dulu lepas itu kita libat dengan agensi-agensi yang bertanggungjawab.
“Tetapi kalau undang-undang kontrak dan jenayah terus berjalan di bawah Jawatankuasa Law Revision yang kita buat spesifik pada tajuk utama tapi itu pun masih proses semakan antara undang-undang lapuk.
“Perjalanannya (selesai) panjang tapi yang penting kita mengakui adanya undang-undang yang lapuk dan saya bagi contoh undang-undang kontrak di mana pakai signature digital kontrak undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Bersama Warga Jabatan & Agensi di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini.
“Kita ada (undang-undang) yang tidak boleh liputi digital secara menyeluruh itu dan ia dalam proses melihat dan sebagainya kerana masalah lapuk itu sebelum merdeka dan Malaysia ditubuhkan,” katanya.
Sebelum ini, Azalina menberitahu, Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.
Beliau berkata, kajian mengenai undang-undang lapuk itu perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman dan universiti yang mempunya fakulti undang-undang dan kepakaran untuk menilai. – MalaysiaGazette