Sebahagian penerima sumbangan komputer riba hasil inisiatif program eKasih yang dilkancarkan oleh Kerajaan Madani.

KUALA NERUS – Seramai 46 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada golongan keluarga B40 menerima sumbangan komputer riba menerusi Program eKasih dalam satu majlis penyerahan rasmi yang diadakan di kampus universiti itu, baru-baru ini.

Antara penerima yang diraikan termasuk Syazwani Aqilah Nasil, 20, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman) dan Iffah Nasuha Maria, 19, pelajar Diploma Perikanan, yang menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu rahmat yang amat membantu melancarkan urusan pengajian mereka.

Program eKasih merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan Madani yang menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa khususnya daripada latar belakang ekonomi mencabar.

Bantuan itu bukan sahaja meringankan beban pelajar dan keluarga, malah membuka lebih banyak peluang untuk mereka mengakses pendidikan secara lebih cekap melalui kemudahan digital.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, sumbangan komputer riba ini selaras dengan arus pendigitalan pendidikan yang semakin berkembang di kampus dan juga dalam dunia pekerjaan.

“Sumbangan laptop ini amat bersesuaian seiring usaha memartabatkan pendigitalan pendidikan. Ia bukan sekadar bantuan, malah satu pelaburan jangka panjang dalam membina modal insan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif berkata, kerajaan berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dalam pembelajaran harian mereka.

“Pembelajaran yang baik akan membawa kepada pencapaian cemerlang. Hasilnya, para pelajar mampu menyumbang kembali kepada keluarga dan masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

UMT juga memaklumkan sebanyak RM632,000 zakat telah diagihkan khusus untuk kebajikan pelajar sebagai sebahagian daripada komitmen universiti memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan disebabkan kekangan kewangan.

Pihak universiti turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi korporat yang telah menyumbang dalam menjayakan program bantuan seperti ini.

Melalui pelbagai program kebajikan dan bantuan yang dilaksanakan, UMT terus komited melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga menjadi aset negara yang mampu menerajui kepimpinan masa hadapan berteraskan nilai integriti, kepedulian dan kecaknaan terhadap masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here