JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kekalahan pihak dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menyisihkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akibat daripada kebangkitan akar umbi parti yang menghukum mereka.
Veteran PKR itu berkata, akar umbi mahu memusnahkan politik elit dan politik kartel yang kini sudah berakar dalam PKR.
“Itulah rumusan yang saya dapat simpulkan apabila ramai pemimpin-pemimpin yang menang dalam pemilihan PKR tiga tahun lalu (2022) atas platform kartel Ayuh Malaysia yang cuba menyisihkan Anwar Ibrahim, kini dalam pemilihan PKR 2025 yang baru berlangsung menemui kekalahan mengejut.
“Ramai tokoh-tokoh besar Ayuh Malaysia kalah di tangan calon-calon akar umbi yang tak ada nama, tak ada jawatan Menteri atau Timbalan Menteri atau bukan jawatan Ahli Parlimen atau MP,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mendakwa, terdapat tokoh-tokoh yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri atau ahli Parlimen tiba-tiba menjadi elit yang berkuasa di koridor Putrajaya.
Mereka katanya, susah dihubungi, tidak mesra lagi dengan anggota biasa PKR yang mengantung poster mereka semasa tokoh-tokoh itu menjadi calon pilihan raya umum dan tidak turun kawasan.
Selain itu dakwanya, tokoh-tokoh berkenaan juga ‘tidak kenal’ lagi ahli biasa selain panggilan telefon atau mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp tidak dijawab.
Malah katanya, tokoh-tokoh terbabit juga meninggalkan kumpulan WhatsApp ahli-ahli biasa PKR yang menyokong mereka selama ini.
Tokoh-tokoh besar itu akhirnya tahu tinggi rendah langit apabila mereka dihukum dalam pemilihan secara demokratik dalam pemilihan PKR, katanya.
“Jadi pilihan raya PKR sekarang adalah satu revolusi demokrasi di peti undi secara digital dan tercanggih melakukan pembersihan dalam kepimpinan di peringkat 222 cabang di seluruh negara di seluruh kawasan Parlimen.
“Mereka telah berjaya membuang politik kartel dan politik elit yang telah merosakkan PKR dalam beberapa tahun terakhir ini sejak PKR menjadi parti politik terpenting dalam kerajaan yang sedang memerintah sama ada dalam kerajaan Persekutuan di Putrajaya atau kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
PKR mengadakan pemilihan pemimpin di peringkat cabang parti sejak hujung minggu lalu dan berakhir semalam.
Keputusan menunjukkan terdapat tokoh tertentu kalah kepada pencabar seperti Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir kalah kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Bahru, Taufiq Ismail yang juga anak didiknya.
Semalam, Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki.
Kumpulan Ayuh Malaysia dikenali sebagai tempat pemimpin politik yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang kini berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.
Antara pemimpin lain PKR yang dekat dengan Rafizi tetapi kalah dalam pemilihan kali ini ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Fahmi Zainol (Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak.
Pada masa sama ada juga sekutu Rafizi yang berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing termasuk Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, menang tanpa bertanding di Tanjong Malim serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Rafizi menang tanpa bertanding di Pandan.- MalaysiaGazette