KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri diminta mendedahkan kepada umum identiti lima syarikat yang mengemukakan permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pengurusan Menara Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap proses perolehan awam yang melibatkan aset strategik negara.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana sebuah syarikat yang belum wujud secara sah didakwa boleh menyertai tender RFP bagi pengurusan Menara Kuala Lumpur.
Ujar beliau, perkara itu penting bagi memastikan integriti dan ketelusan dalam proses perolehan awam yang mana dalam dokumen tawaran RFP juga menyatakan kehadiran ke taklimat projek dan lawatan tapak adalah wajib, dan hanya syarikat yang hadir dibenarkan membeli dokumen RFP.
“Berdasarkan semakan melalui laman rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. hanya didaftarkan pada 28 Jun 2024, iaitu dua bulan selepas tarikh tutup tawaran tender pada 5 April 2024.
“Maka, timbul persoalan mengenai kelayakan penyertaan syarikat ini memandangkan mereka secara logiknya tidak berpeluang menghadiri taklimat projek dan lawatan tapak seperti yang disyaratkan dalam dokumen RFP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamad Shafiq berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. telah melalui dan melepasi tapisan keselamatan yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Tapisan Keselamatan (IGSO) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, ia memandangkan Menara Kuala Lumpur bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi turut diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Utama Tahap 2 (SPU2).
Jelas beliau, bangunan itu menempatkan aset strategik milik kerajaan yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kementerian Komunikasi serta Jabatan Perdana Menteri digesa untuk tampil memberikan penjelasan terperinci dan terbuka berhubung isu ini, sejajar dengan kenyataan kerajaan bahawa proses tender RFP bagi pengurusan Menara Kuala Lumpur telah dijalankan secara terbuka.
“Maka, sekiranya benar ia merupakan satu tender terbuka dan telus, tidak seharusnya timbul sebarang kerahsiaan atau percubaan untuk menyembunyikan maklumat daripada pengetahuan umum,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah memasuki premis Menara Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu lalu, selepas syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat.
Syarikat baharu sepatutnya mula mengambil alih operasi pada 1 April lalu namun syarikat lama enggan berundur menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil.
Fahmi turut memaklumkan, hasil pemeriksaan oleh pegawai Kementerian Komunikasi mendapati keadaan Menara KL tidak lagi sesuai dan selamat untuk pengunjung. – MalaysiaGazette