MOSCOW – China menghentikan pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat pada Mac, sebaliknya meningkatkan import bahan api itu dari Australia, Indonesia dan Brunei, menurut analisis data kastam China dipetik RIA Novosti.
Pada 2024, Amerika Syarikat adalah antara lima pembekal utama LNG ke pasaran China, dengan jumlah eksport sebanyak 4.15 juta tan bernilai US$2.4 bilion.
Pada Januari 2025, China membeli 194,200 tan LNG daripada syarikat AS bernilai US$125.4 juta, namun jumlah itu merosot kepada 65,800 tan dengan nilai US$31.4 juta pada Februari.
Pada Mac, tiada sebarang penghantaran LNG dari Amerika Syarikat ke China direkodkan, menjadikannya gangguan pertama sejak Jun 2022.
Bagaimanapun, China menampung kekurangan itu dengan meningkatkan pembelian daripada negara jiran serantau.
Indonesia mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 1.7 kali ganda kepada US$330.7 juta, manakala Australia meningkatkan bekalan sebanyak 18 peratus kepada US$778.4 juta.
Di samping itu, China turut menyambung semula import dari Brunei dengan jumlah bernilai US$51 juta pada Mac.
Pada 2 April lalu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang memperkenalkan tarif “timbal balik” terhadap import dari negara luar, termasuk kadar tertinggi ke atas China.
Langkah itu menyumbang kepada peningkatan ketegangan dalam perang perdagangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia. – BERNAMA