JOHOR BAHRU – Dua beradik yang merupakan cucu kepada peneroka di Felda Ulu Tebrau di sini maut dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram dekatĀ sini malam tadi.
Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata, beliau mendapat tahu kejadian yang mengorbankan Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan Ammar Saifullah Zaibur, 15, itu pada jam 8 malam.
“Saya dimaklumkan dua beradik yang tinggal di Jalan Anggerik, Felda Ulu Tebrau dilanggar sebuah kereta dipandu penduduk Felda juga, yang dalam perjalanan dari Felda Ulu Tebrau ke Ulu Tiram.
“Kedua-dua beradik tersebut difahamkan meninggal dunia dan jenazah mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini malam tadi untuk urusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, segala urusan pengurusan jenazah akan dilaksanakan Masjid Al Falah Felda Ulu Tebrau setelah urusan di HSI selesai.
Beliau memberitahu, jenazah kedua-dua beradik itu akan dikebumikan sebelum atau selepas waktu zohor di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau.- MalaysiaGazette