JOHOR BAHRU – Dua beradik yang maut dalam kemalangan persimpangan lampu isyarat simpang empat Felda Ulu Tebrau, di sini, malam tadi, baru pulang menziarahi dan beraya di rumah bapanya di Bandar Tiram.
Ibu mangsa, Asilah Minhat, 38, berkata, Ammar Saifullah Zaibur, 15, dan kakaknya, Nuraisyah Amalin, 20, bertemu bapanya kerana dia sudah berpisah dengan Zaibur Burhan, 47, termasuk menziarahi bapa dan ibu saudaranya di rumah berkenaan.
“Semasa kejadian sekitar pukul 8.45 malam, saya berada di rumah dan hanya mengetahui mengenai kemalangan tersebut selepas dihubungi kawan anak saya.
“Saya dapat panggilan kira-kira pukul 9 malam dan memang terkejut dengan berita berkenaan. Saya reda dengan pemergian mereka berdua… sudah puas menangis, benda nak jadi dan telah terjadi.
“Mereka merupakan anak sulung dan kedua daripada empat adik-beradik. Sebelum kejadian, tiada sebarang perubahan sikap… sama sahaja,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, dua beradik tersebut maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Felda berkenaan.
Asilah yang juga ibu tunggal berkata, Nuraisyah baru habis menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sedang bekerja sementara manakala Ammar Saifullah pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Ulu Tebrau.
Katanya, jenazah kedua-dua anaknya itu akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau selepas Zohor.- MalaysiaGazette