Ebenezer Assifuah. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal kehilangan penyerang import, Ebenezer Assifuah pada musim depan selepas kelibatnya tidak kelihatan ketika menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu malam tadi.

Difahamkan, penyerang kelahiran Ghana itu telah meninggalkan pasukan lebih awal dengan perlawanan seri 1-1 bertemu Sabah FC pada Sabtu lalu merupakan aksi terakhirnya musim ini kelab kendalian Victor Andrag.

Penyerang import yang turut beraksi untuk skuad KDA FC B telah merekodkan satu jaringan dalam 19 penampilan Liga Super bersama Kedah musim ini.

Selain itu, Assifuah yang berusia 31 tahun diberikan peluang untuk beraksi dalam dua aksi Piala Malaysia dan lima perlawanan Piala FA 2025.

Ketajaman  Assifuah terbukti ketika meledak hatrik dalam aksi pusingan 16 Piala FA lalu menentang Bukit Tambun FC namun perjalanan Kedah terhenti di peringkat separuh akhir setelah disingkirkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penyerang yang pernah bermain untuk skuad kebangsaan Ghana itu sebenarnya cemerlang bersama skuad Kedah B hingga pernah bergelar penjaring terbanyak Piala MFL edisi sulung dengan 16 jaringan gol.

Disebabkan prestasi tersebut, Assifuah mendapat peluang untuk dinaikkan pangkat ke skuad utama dengan dia direkrut ke pasukan senior untuk beraksi sebagai pemain sokongan kepada penyerang utama kelab itu Syafiq Ahmad dan penyerang import dari Serbia, Milos Gordic.

Kontrak Assifuah yang berakhir pada Mei ini kini menjadi tanda-tanya selepas KDA FC  sedang bergelut dengan dana kewangan mereka.

Sang Kenari kini perlu menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM7 juta sekiranya ingin kekal dalam Liga Super musim depan dengan pengurusan kelab utara itu diberi tempoh sehingga 30 April ini oleh pengendali liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here