Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang seolah-olah membenarkan umat Islam menangguhkan ibadat haji bagi memastikan kemenangan politik Islam perlu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Ini kerana, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, `fatwa’ terbaharu Abdul Hadi itu perlu dinilai kerana boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat.

Sedangkan, beliau berpandangan, ibadat haji adalah wajib dan dianggap fardu ain manakala mengundi pada pilihan raya adalah fardu kifayah.

“Maka apabila bertembung antara kewajipan Haji yang Fardhu Ain dengan kewajipan mengundi yang Fardhu Kifayah maka mesti diutamakan ibadah Haji yang wajib.

“Melainkan jika satu ketika nanti hukum mengundi menjadi Fardhu Ain dengan maksud setiap orang wajib mengundi dan sesiapa yang tidak mengundi hukumnya adalah berdosa.

“Suasana itu memerlukan Fatwa oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti sebagaimana Fatwa Jihad menjadi Fardhu Ain pada ketikanya hendaklah difatwakan oleh pihak berautoriti agama,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri turut berkongsi pandangan para fuqaha (orang yang ahli dalam ilmu fikah) berkenaan hukum antara keperluan haji dan jihad.

Menurut beliau, para ulama menegaskan ibadat haji adalah fardu ain yang bersifat segera apabila cukup syarat.

“Jihad pula hukumnya fardu kifayah selagi pemerintah tidak membuat seruan jihad sebagai fardu ain seperti ketika negara diserang oleh musuh.

“Apabila bertembung antara kewajipan haji yang bersifat fardu ain dengan jihad yang bersifat fardu kifayah maka wajib diutamakan fardhu ain,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi seperti dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here