KUALA LUMPUR – Mereka yang sudah terpilih sebagai jemaah haji (Dhuyufur Rahman) tahun ini seharusnya menyambut seruan itu dan menunaikan ibadat tersebut dengan penuh keikhlasan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, bakal jemaah haji berkenaan telah dipilih Allah SWT dalam kalangan berbilion umat Islam, justeru mereka perlu merebut peluang itu untuk beribadah dengan setulusnya.
Bagaimanapun, menurut beliau, sekiranya melibatkan umrah, ibadat itu boleh dirancang sebaiknya termasuk mencuba sedayanya memilh tarikh yang bersesuaian.
Jelasnya, umrah adalah ibadat sunah yang fleksibel dan boleh diatur mengikut keperluan serta kesesuaian.
“Setakat ini, belum ada fatwa pihak berautoriti seperti Jabatan Mufti atau Muzakarah MKI atau mana-mana badan fatwa – yang mengatakan kemenangan politik lebih utama berbanding tunai umrah dan haji.
“Menyatakan ‘kemenangan politik’ sebagai lebih utama dari tunai umrah dan haji memerlukan penelitian lebih mendalam dan dilakukan dengan penuh hati-hati; agar ia tidak disalah erti – bahkan boleh menatijahkan pemikiran ekstrem, ketaksuban dan kefanatikan.
“Fatwa juga perlu bebas dari elemen politik kepartian dan dilakukan dengan penuh amanah dan tanggungjawab; serta mengambil kira kesan atau ‘al-maalat’ fatwa atau pandangan itu sendiri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Zulkifli, haji dan umrah merupakan rukun dan ibadat utama dalam Islam dan tidak sepatutnya diperkecilkan atau dibandingkan dengan kepentingan politik kepartian.
Ujar beliau, Islam juga tidak pernah mengajar umatnya untuk meninggalkan ibadah semata-mata bagi merebut kemenangan politik kepartian.
“Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, yang sentiasa menyatukan kita di atas titik akidah yang menyuburkan kedamaian, persaudaraan dan juga perpaduan,” katanya.
Abdul Hadi mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette