Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan kenyataan mana-mana pemimpin politik yang mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah telah dipetik dalam konteks yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam.

Haji sebagai rukun Islam kelima, merupakan kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sebagaimana termaktub dalam al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 97 dan sesekali tidak mengengkari kewajipannya.

Umrah pula adalah ibadah sunat yang amat digalakkan, membawa ganjaran spiritual yang besar seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, kenyataan mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan.

Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang, giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa yang begitu panjang.

“Islam mengajar kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT, kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Mengulas lanjut, Mohamed Azam berkata, penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak.

Penangguhan itu, tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihan raya.

Oleh itu, Mohamed Azam meminta pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi.

“IKIM menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan perkara di atas.

“Sebaliknya pemimpin digalakkan untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan.

“Pada masa sama menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan spiritual,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here