Ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf diiring keluar oleh ahli keluarga selepas dibebaskan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2024

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf telah ditahan polis bagi membantu siasatan, sebelum dibawa menjalani proses lakonan semula (reconstruction) di beberapa lokasi berkaitan.

Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail berkata, wanita tersebut juga telah dibawa ke mahkamah pada 12 Jun tahun lalu bagi diambil pengakuan bersalah selepas enam bulan insiden kematian kanak-kanak autistik itu.

Mohd Hafizee yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, Ismanira telah ditangkap bersama-sama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, pada 31 Mei tahun lalu setelah beberapa siasatan dijalankan termasuk semakan panggilan telefon dan lokasi yang dikaitkan dengan kedua-dua tertuduh.

“Pada 9 Jun 2024, Ismanira telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Bandar Puncak Alam, dan beberapa barangan telah dirampas di lokasi tersebut,” kata saksi ke-28 pendakwaan ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Menurut beliau, keesokan harinya, pada 10 Jun 2024, tertuduh dibawa keluar dari lokap bagi menjalani sesi lakonan semula berkaitan kejadian.

“Proses lakonan semula bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dijalankan di bawah kawalan pasukan D6 Bukit Aman. Keseluruhan rakaman disalin ke dalam ‘pendrive’ dan diserahkan kepada saya sebagai sebahagian daripada bahan siasatan,” ujarnya.

Kata Mohd Hafizee, Ismanira turut dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk prosiding pengakuan di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Saya menerima arahan untuk tertuduh pertama, Zaim Ikhwan Zahari, dan tertuduh kedua, Ismanira, dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan pada jam 4 petang 13 Jun 2024,” katanya membaca pernyataan saksi.

Zaim Ikhwan dan Ismanira sedang didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023. -MalaysiaGazette

Objek asing ditemui dalam bronkus Zayn Rayyan disahkan daun pokok pulai – Saksi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here