JAKARTA – Pertemuan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka hari ini tertumpu kepada isu halal, tarif Amerika Syarikat dan pencerobohan nelayan di perairan sempadan.
Perbincangan yang berlangsung selama 45 minit itu turut disertai delegasi Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari Ahmad Zahid ke Indonesia.
Bercakap dalam sidang media selepas pertemuan tersebut, Timbalan Perdana Menteri berkata, isu halal dan penggunaan bersama persijilan halal menjadi fokus berikutan nilai pasaran halal di rantau Asia Tenggara yang kini mencecah USD1.3 trilion.
“Ini adalah satu pasaran yang besar namun kita mesti mempermudahkan kebersamaan penggunaan (sijil) halal ini kerana pasaran itu bukan hanya antara Indonesia dan Malaysia tetapi ASEAN keseluruhannya,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, koordinasi dan perbincangan terperinci akan diadakan antara kedua-dua negara bukan saja dalam aspek pengeluaran produk-produk halal malah strategi pemasaran juga.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin; dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas lanjut mengenai perbincangan tersebut, Ahmad Zahid berkata, isu serantau serta tarif Amerika Syarikat turut mendapat perhatian kedua-dua negara.
Katanya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mahu semua negara anggota blok itu meningkatkan kerjasama dalam menangani isu tersebut.
Mengenai pencerobohan nelayan di sempadan perairan kedua-dua negara, katanya, isu tersebut perlu diselesaikan segera terutama membabitkan wilayah yang status kedaulatannya masih belum diputuskan milik siapa.
“Bagi nelayan-nelayan Malaysia yang mungkin tersilap masuk ke perairan Indonesia di perairan yang status kedaulatan atau pemilikan wilayahnya masih belum diselesaikan atau dipersetujui secara rasmi antara negara-negara untuk dipulangkan.
“Ertinya kalau nelayan dari Indonesia yang mungkin tersilap ke perairan Malaysia akan dihantar pulang begitu juga nelayan-nelayan daripada Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, sejak perjanjian berkaitan isu tersebut dilaksanakan, jumlah penangkapan kapal nelayan telah dapat ditingkatkan dan tangkapan ikan oleh nelayan daapt dikurangkan.
Menurut Ahmad Zahid, beliau dan rakan sejawatannya turut berbincang mengenai permasalahan pekerja-pekerja dari Indonesia termasuk isu pembantu rumah.
Jelasnya, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengadakan ‘One System Channel’ untuk pekerja-pekerja dari Indonesia yang masuk ingin memasuki Malaysia.
“Sistem ini telah dibincangkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, ia telah mula dilaksanakan dan diharap sistem ini akan dapat mempermudahkan dan juga menyusun atur dengan lebih baik lagi terhadap penyaluran pekerja-pekerja dari Indonesia ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette