Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi berhubung isu menangguhkan ibadat haji dan umrah bagi memberi kemenangan kepada politik Islam tidak berasaskan mana-mana ilmu, sebaliknya hanya didorong hawa nafsu semata-mata.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ibadat haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan.

Apatah lagi, kata beliau yang juga bekas Menteri Agama, ibadat haji juga memerlukan umat Islam menunggu giliran dengan ada yang sehingga berbelas-belas tahun lamanya kerana faktor kuota.

Berbeza dengan mengundi terutama pada pilihan raya kecil (PRK), jelas Mujahid, ia bukan sesuatu yang boleh dirancang apatah lagi apabila melibatkan kematian seseorang wakil rakyat.

“Sebab itu perbandingan antara menunaikan ibadat haji dengan mengundi ini adalah sesuatu yang jauh tersasar.

“Keyataan yang terdorong kepada kepentingan politik dan hawa ini ini jelas menunggang ibadat haji dan umrah semata-mata supaya rakyat keluar mengundi,” katanya menerusi video seperti dimuat naik menerusi akaun media sosial TikTok beliau hari ini.

Sementara itu, Mujahid turut menyifatkan kenyataan Abdul Hadi tersebut tidak bersandarkan kepada apa-apa kemaslahatan umum kerana ia tidak menjurus kepada situasi darurat sekiranya umat Islam tidak mengundi kerana perlu menunaikan ibadat haji atau umrah.

“Ia hanya pertimbangan politik, jadi kepada ahli-ahli Pas, berhentilah daripada termakan fatwa-fatwa yang sesat ini dan kita kembali kepada ilmu dan tanggungjawab.

“Jangan sesekali tunggang isu haji dan umrah ini untuk kepentingan politik dan mengumumkan kepada umat Islam.

“Ia sukar diterima kerana tersasar sama ada dari sudut syarak atau maslahat,” katanya.

Abdul Hadi mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here