Datuk Dr Raj Karim (kiri) dan Siraj Jalil.

KUALA LUMPYR –  Internet yang amat diperlukan untuk meneroka pengetahuan, maklumat dan peluang kini menjadi semakin menakutkan kepada anak-anak.

Biarpun ada akta dan undang-undang dengan hukuman keras diperkenalkan oleh kerajaan namun jenayah bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) terus berleluasa. Portal Internet Watch Foundation Malaysia misalnya menerima 16,328 laporan berkaitan CSAM di negara ini sepanjang tahun lepas.

Terbaharu dan paling mengemparkan empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan manakala lebih 50,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dirampas dalam Op Cyber Guardian yang dijalankan antara 24 Februari hingga 28 Mac lepas di beberapa lokasi di Selangor dan Pulau Pinang.

Bagi Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM) Datuk Dr. Raj Abdul Karim memberi pendidikan awal kepada anak-anak serta literasi digital kepada ibu bapa adalah kaedah terbaik dalam mengangani CSAM.

Beliau mencadangkan supaya kurikulum Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai CSAM dijadikan mata pelajaran di sekolah.

Katanya, beliau telah menilai program pendidikan yang dijalankan oleh MCMC yang teliti, kemas dan amat berkesan dalam memberi kesedaran dan pendedahan kepada remaja bawah umur mengenai perangkap CSAM di alam siber.

Datuk Dr. Raj Abdul Karim

Menurutnya, sekiranya diangkat menjadi subjek wajib yang diajar di sekolah beliau mencadangkan supaya kurikulum MCMC itu turut melibatkan isu lain termasuk kehamilan di luar nikah, seks bebas, merokok, bahaya vape dan penularan penyakit HIV.

Dr. Raj berkata, kanak-kanak yang menjadi mangsa CSAM kebiasaannya menerima kesan emosi dan psikologi yang begitu dalam.

Mangsa selalunya mengalami perasaan rendah diri, menjadi penyendiri dan tidak bersosial, malah ada yang mahu mengambil nyawa sendiri.

Justeru beliau terkejut apabila mahkamah di Johor Bahru baru-baru ini hanya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memiliki 18 rakaman video dan gambar bogel anak tirinya berusia 15 tahun.

“Bagi saya, hukuman tidak sepatutnya ringan sebab apa yang pemangsa buat, kesannya kepada kanak-kanak memang besar. Hukuman perlu berat, sebab pemangsa menjejaskan sepanjang hidup kanak-kanak itu sehingga dewasa, anda tahu?

“Seumur hidup mangsa boleh ingat gambar dia disebarkan, orang semua sudah tengok. Jadi, ia adalah seumur hidup. Kita perlu tunjukkan kepada masyarakat bahawa pemangsa tidak sepatutnya melakukan perbuatan terkutuk ini,” katanya.

Beliau lega apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Muar kerana baginya undang-undang yang termaktub begitu tegas terhadap jenayah CSAM.

Hukuman yang berat adalah perlu kerana ia turut menjadi pengajaran kepada pemangsa lain yang merancang untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Malah katanya, pesalah yang telah menjalani hukuman perlu dikawal dan diberikan kaunseling selepas keluar penjara kerana jenayah CSAM boleh mendatangkan ketagihan kepada pesalah untuk mengulangi jenayah.

“Kalau sudah tangkap dan dimasukkan tujuh tahun dalam penjara misalnya. Bila dia keluar, siapa nak kawal dia? Sebab kadang-kadang jenayah seperti ini dia macam merokok, mengambil dadah menjadi satu ketagih.

“Bila dia sudah keluar kerana mereka mempunyai masalah mental, bekas  penjenayah perlu diberikan kaunseling, rawatan dan dikawal supaya tidak mengulangi jenayah sehingga  menjadikan kanak-kanak lain sebagai mangsa,” tegas  Dr. Raj.

Siraj Jalil

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, dia tidak pelik jika portal Internet Watch Foundation Malaysia menerima berbelas ribu laporan berkaitan CSAM di negara ini.

Menurut Siraj komunikasi secara langsung di permainan dalam talian mendedahkan anak-anak kepada pemangsa, malah dirinya turut diantun di alam siber untuk terjebak dalam dunia seks sejenis.

“Hampir semua platform permainan dalam talian ada saluran komunikasi secara terus yang membuka pintu kepada orang yang mempunyai ketagihan seksual.

“Macam-macam usaha pemangsa hendak jerut ke arah persetubuhan haram.  Bukan hanya berbual, bukan setakat bertukar-tukar gambar tetapi bila berjumpa akan berlakulah apa yang diingini pemangsa.

“Jangan cakap kanak-kanak, saya sudah besar ini pun ada orang mesej di Facebook, tanya apa khabar, awak kat mana, awak okey ke. Saya cakap apa hal? Saya terus tunjuk mesej kepada isteri takut salah faham,” katanya.

Lebih membimbangkan, menurut Siraj, jenayah CSAM kini bukan sahaja melibatkan orang dewasa malah anak-anak di bawah umur turut terjebak menjual gambar sendiri demi mendapatkan wang di platform media sosial seperti X dan Telegram serta berpuluh aplikasi permainan dalam talian.

Katanya, MCCA kini secara aktif berada di alam siber mencari dan mengesan pemangsa dan mendedahkan semakin ramai rakyat Malaysia terjebak bukan sahaja menjual gambar tetapi diri termasuk kanak-kanak.

“MCCA mengkaji tempat-tempat yang kritikal dan kronik (darkside) melibatkan X, dengan bilangan orang yang semakin tinggi menghasilkan konten sendiri. Setiap hari ada sahaja konten baru.

“Dulu kalau cakap konten pornografi selalunya melibatkan ‘mat saleh’ tetapi  bayangkan  kini ramai rakyat tempatan yang sudah tidak ada rasa malu. Dia rasa macam ada kebebasan yang melampau. Terdapat kanak-kanak, remaja dan pelajar sekolah. Kita hidup dalam dunia yang sangat menakutkan,” katanya.

Katanya, implikasi buruk alam siber dan berleluasanya jenayah CSAM adalah kerana kegagalan untuk mendidik dan mengawal sejak lima tahun lalu justeru tindakan hari ini bakal mengambarkan kesannya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Langkah awal pencegahan yang perlu diambil adalah seperti yang dicadangkan oleh  Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu kesedaran digital bermula sebaik seseorang memegang gajet buat kali pertama.

“Saya sedang menggerakkan usaha ini melibatkan projek pilot di tiga sekolah iaitu dua sekolah menengah dan satu sekolah rendah . Kita tunjukkan pedophile itu macam-mana, kita paparkan realiti sekarang.

“Orang yang tidak ada pemahaman digital yang baik, dia berpotensi menjadi orang yang bermasalah atau orang yang memberi masalah kepada orang lain dalam dunia siber,” tegas Siraj.

Untuk rekod, jumlah kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia meningkat 26.5 peratus kepada 1,567 kes pada 2023 berbanding 1,239 tahun 2022.

Berdasarkan Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here