PUTRAJAYA – Parti-parti politik diingatkan tidak menjadikan ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Apatah lagi, perkara yang diucap itu melibatkan pandangan hukum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, adalah lebih baik perkara itu dielakkan dan dirujuk sahaja kepada pihak berautoriti seperti jabatan mufti atau badan agama di negeri-negeri.
“Pada sayalah, kalau ia melibatkan pandangan hukum, sebaik-baiknya tidak mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan rakyat.
“…dan kita rujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti. Maknanya, dia kalau melibatkan satu pandangan hukum, boleh rujuk kepada jabatan mufti dan negeri-negeri, sebab ini adalah pihak yang berautoriti.
“Tetapi, kalau secara umumnya kalau mana-mana pihak nak merujuk kepada ayat al-Quran, kepada hadis saya rasa bergantung. Cuma, jangan salah gunakan untuk kepentingan politik…itu yang paling utama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan dan Pelancaran Bangunan Ibu Pejabat Baharu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) di sini, hari ini,
Hadir sama Timbalannya, Senator Dr Zulkifli Hasan, Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPIEM, Zabidi Nasan.
Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin parti-parti politik yang sering menggunakan agama sebagai bahan kempen bagi meraih undi khusus menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada masa ini.
Terdahulu, Mohd Na’im menerusi hantaran di Facebooknya menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan keutamaan menunaikan tanggungjawab untuk mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji.
Beliau meminta supaya pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal-hal agama.
Serentak itu beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum secara individu tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para mufti.
Jelasnya, hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette