JOHOR BAHRU – Lebih 90 peratus daripada jumlah pelaburan yang diterima Johor pada suku pertama tahun ini disumbangkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut melibatkan RM27.4 billion.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan tersebut, JS-SEZ bakal memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan ekonomi negara, serta rantau Asia Tenggara.
“Penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFCJ) awal tahun lalu turut memainkan peranan penting dalam kejayaan tersebut.
“Adalah penting untuk kita membawa masuk pelaburan yang tepat di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Katanya, JS-SEZ tidak hanya akan memberi tumpuan kepada perdagangan dan perniagaan antara Malaysia dan Singapura semata-mata, sebaliknya turut mengalukan keterlibatan negara ASEAN lain.
Tambah beliau, pihaknya mahu JS-SEZ menjadi lebih daripada sekadar rangka kerja dua hala tetapi nilai tambah untuk seluruh ASEAN.
“Untuk itu kita akan terus memasang cita-cita lebih besar dan berusaha untuk maju ke depan,” ujar beliau.
Forum pertama JS-SEZ dilaksana untuk me ni menyokong integrasi dalaman ekonomi ASEAN di tengah cabaran perdagangan semasa yang bertemakan ‘JS-SEZ:Merentas Ekonomi, Memperkukuh Rantaian Bekalan.
Forum penting itu menghimpunkan pembuat dasar berprofil tinggi, pemimpin industri, syarikat berkaitan kerajaan, pelabur institusi dan wakil industri menjadikannya antara forum kerjasama ekonomi terbesar Antara Malaysia dan Singapura.- MalaysiaGazette