KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan My Digital Id bagi urusan saman trafik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun penggunaan My Digital Id tidak digalakkan ketika ini namun ia sebahagian dasar transformasi digital negara.
“Selepas ini transaksi perkhidmatan awam dan swasta kita akan beralih ke situ dan parlimen akan pinda Akta Pendaftaran Negara 1959 tidak lama lagi.
“Kabinet juga telah luluskan sampai ke peringkat dasar cuma ia belum begitu rancak lagi walaupun sudah cecah jutaan (pendaftaran) tidak sampai sasaran kita,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilftri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tambah Saifuddin, selepas ini semua urusan melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengutamakan pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID untuk mendapatkan keistimewaan ditawarkan.
“Bahagian JSPT selalu bermurah hati, setiap kali ada program besar tawarkan potongan. Kalau sebelum ini potongan biasa hanya 50 peratus, tapi dengan My Digital ID akan dapat lagi 55 peratus. Daftar pun senang dengan guna telefon dan proseanya cepat,” jelasnya.
Pada majlis itu, Saifuddin turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, balu dan kanak-kanak autisme yang kesemuanya adalah warga PDRM.
Pelbagai juadah tradisional disediakan, disertai dengan persembahan daripada artis terkenal tempatan yang menghiburkan tetamu.
Selain itu, PDRM turut membuka kaunter bayaran saman trafik sehingga 50 peratus bagi saman terpilih di kawasan Astaka Taman Tasik Titiwangsa, di sini. – MalaysiaGazette