KUALA LUMPUR – Pandangan para ulama untuk mendahulukan kewajiban mengundi dan ditangguhkan mengerjakan haji ke tahun-tahun berikutnya adalah ijtihad yang diterima.
Malah, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Mursyidul Am Pas pernah menyarankan ibadat haji dibawa ke depan (tunda) jika bertembung dengan pilihan raya.
Menurut beliau, mengundi adalah kewajiban umat dalam menjaga agama dan negara.
“Sukalah musuh-musuh agama, tak kira kafir atau munafik, jika mengundi diletakkan dalam darjat kedua, apatah ketiga oleh umat Islam sendiri.
“Siapa pun yang ada ilmu agama tahu bahawa kewajiban menunaikan ibadah haji sama ada segera atau boleh ditangguhkan adalah perkara khilaf.
“Maka pandangan para ulamak untuk mendahulukan kewajiban mengundi dan ditangguhkan mengerjakan haji ke tahun-tahun berikutnya adalah ijtihad yang diterima.
“Kekalkan dalam benak fikir anda bahawa mengundi dalam pilihan raya adalah wajib. Ini saya tulis ringkas-ringkas,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media sebelum ini pernah melaporkan kenyataan Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan yang bersetuju jika penyokong parti Pas membatalkan niat menunaikan haji jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada musim haji tahun itu.
Beliau berkata, Islam tidak mewajibkan umatnya mengerjakan haji setelah nama mereka tersenarai sebagai jemaah haji oleh Lembaga Tabung Haji pada tahun PRU berkenaan.
“Malah, Nabi Muhammad sendiri menunaikan haji pada tahun ke-10, sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun ke enam,” katanya seperti dipetik laporan berita pada Jun 2012. – MalaysiaGazette