Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023. (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu keputusan untuk membahagi-bahagikan kiriman wang AS$1 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan ditentukan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Deutsche Bank Malaysia Berhad (DBMB), Raymond Yeoh Chen Seong berkata, tindakan itu sebaliknya merupakan keputusan perniagaan yang diambil oleh 1MDB.

Menurut saksi pembelaan ke-22 (DW22), penjelasan tersebut diperolehi daripada BNM ketika ditanya mengenai transaksi berkenaan yang melibatkan penghantaran wang kepada PetroSaudi International Ltd (PSI).

Katanya, beliau menghubungi kakitangan Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing BNM, Wan Hanisah Wan Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan mengenai transaksi itu.

“Semasa panggilan itu, saya menerangkan arahan pengiriman wang yang dikemas kini. Wan Hanisah menjawab bahawa bukan BNM yang membuat keputusan sebaliknya ia keputusan perniagaan 1MDB,” ujar saksi.

Ujar Raymond Yeoh, 62, sekitar pertengahan 2009, beliau mendapat tahu hasrat 1MDB untuk membuat transaksi AS$1 bilion kepada entiti usahasama lalu memaklumkannya kepada Jacqueline Ho yang ketika itu Ketua Jualan Korporat Pasaran Global DBMB.

Kata saksi, Jacqueline Ho kemudian memaklumkan 1MDB  pengesahan bertulis diperlukan bagi kiriman wang melebihi RM100 juta.

“Jacqueline beritahu saya bahawa arahan bertulis 1MDB kepada DBMB berbeza dengan kelulusan bertulis yang dikeluarkan oleh bank pusat itu.

“Kemudian saya mendapatkan penjelasan BNM dengan menghubungi Wan Hanisah dan memaklumkan arahan kiriman yang terbaharu melalui panggilan telefon yang dirakam.

“Panggilan itu dibuat di bilik urusan DBMB dengan kehadiran Jacqueline Ho yang turut berada di talian,” ujar beliau.

Menurut Raymond Yeoh, bank itu melaksanakan kiriman wang selepas menerima pengesahan lisan dan arahan daripada 1MDB.

Kata saksi, sebanyak AS$700 juta diberikan kepada RBS Coutts manakala baki AS$300 juta kepada J.P. Morgan SA.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan Datuk Seri Najib Razak, 71, yang menghadapi 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here