Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak berpendirian, keterangan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan mendedahkan gambaran sebenar di sebalik penyelewengan berbilion-bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keterangan Robert Ng penting kerana butiran terperinci yang dikemukakan pada perbicaraan kelak akan membuktikan bekas Perdana Menteri tidak terlibat dalam skandal 1MDB.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir berhubung perkembangan terkini kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 APRIL 2025

Beliau menyatakan demikian ketika mengesahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs itu akan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi sebagai saksi pembelaan kes Najib.

“Kami akan memanggil Roger Ng sebagai saksi pembelaan dalam kes ini (pada satu tarikh yang akan ditetapkan). Mungkin dia kata Najib tidak bersalah, kita tidak tahu.

“Pembelaan boleh menemubualnya selama setengah jam atau sejam (jika Roger Ng sedia ditemu bual) dan terus memanggilnya sebagai saksi.

“Dalam kes ini, mengapa Najib seorang sahaja dalam kandang tertuduh? Pihak-pihak dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, tidak lebih daripada itu,” katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman hari ini.

Muhammad Shafee mendakwa, keberadaan Roger Ng sebelum ini menjadi tanda tanya kerana seolah-olah pihak-pihak yang berkenaan terlibat dalam permainan `sorok-sorok’.

Dakwa beliau, Roger Ng diletakkan di bawah Program Perlindungan Saksi meskipun tiada pihak yang mahu mengesahkan dengan tepat di mana bekas pengawai bank itu ditempatkan.

Ketika ditanya sama ada pernyataan saksi Roger Ng akan disediakan sebelum perbicaraan, Muhammad Shafee berkata, dokumen itu hanya akan disediakan jika dia bersedia untuk ditemu bual.

“Jika dia tidak mahu ditemu bual, bagaimana kita dapat menyediakan pernyataan saksi? Dalam keadaan sedemikian, maka dia akan terus dipanggil memberi keterangan.

“Kita kena ingat, dia telah memberi keterangan di New York, disabitkan dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun.

“Jadi dia tidak boleh hendak bergerak bebas sangat. Kami hanya ingin menjelaskan beberapa perkara yang ditemukan berkaitan kes ini.

“Kalau anda ikuti kes ini secara rapat, mengapa perhatian hanya tertumpu pada Datuk Seri Najib seorang, walhal keseluruhan lembaga pengarah 1MDB dan bank-bank berkaitan bertindak secara tidak jujur?,” persoal Muhammad Shafee.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa bekas pegawai bank Goldman Sachs itu telah dihantar pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Najib sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here