Dua beradik maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat simpang empat Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Nahas yang mengorbankan  dua beradik di persimpangan lampu isyarat simpang empat Felda Ulu Tebrau, di sini, malam tadi dipercayai berpunca daripada motosikal yang dinaiki mereka melanggar lampu merah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan yang berlaku pukul 9.50 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda ditunggang seorang remaja, Ammar Saifullah Zaibur, 15, dan dibonceng kakaknya, Nuraisyah Amalin Zaibur, 20.

“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut datang dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau sebelum dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan lampu isyarat merah.

“Dalam masa yang sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat menunjukkan hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu MPV berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan.

Mohd Sohaimi berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, penunggang motosikal tersebut juga tidak mempunyai lesen memandu.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhati-hati ketika memandu atau menunggang, khususnya di persimpangan berlampu isyarat,”ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here