Dr Abu Tariq Jamaluddin

KUALA LUMPUR- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melaksanakan OP Rejang di peringkat negeri Sarawak dalam usaha mempertingkatkan tahap pematuhan percukaian negara.

Operasi yang julung kali diadakan di negeri Bumi Kenyalang ini berlangsung selama lima hari mulai hari ini, 21 April hingga 25 April 2025 secara serentak di empat lokasi utama iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Pelaksanaan operasi ini juga turut disertai oleh pasukan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dengan kekuatan seramai 276 pegawai LHDN, sebanyak 1,168 kes daripada pelbagai kategori telah dikenal pasti bagi melancarkan operasi pada kali ini.

“OP Rejang merangkumi lima aktiviti utama iaitu audit cukai, pematuhan strategik (siasatan), operasi verifikasi pembayar cukai, pungutan dan guaman. Selain itu, fokus khas turut ditekankan kepada sektor berisiko tinggi oleh pegawai audit dan inspektor cukai dalam operasi ini iaitu aktiviti ekonomi bayangan, penyeludupan minyak diesel, perkhidmatan pembinaan, kontraktor serta peniaga borong.

“Pada masa yang sama, petugas OP Rejang juga akan menyerahkan notis kepada pembayar cukai yang dikenal pasti tidak patuh dalam pengemukaan borang cukai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah LHDNM, keberkesanan program kolaboratif bersama dengan SSM ini turut memberi impak yang signifikan menerusi verifikasi syarikat yang berstatus ‘dormant’ melalui lawatan bersama dan tagging menggunakan GeoHasil; dan semakan silang data syarikat berdaftar dengan SSM yang masih belum memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dalam rekod LHDN.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, OP Rejang merupakan kesinambungan kepada kejayaan OP Borneo 1.0 dan
mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam meningkatkan pematuhan cukai di
Sarawak.

Beliau turut menegaskan dalam menangani ketidakpatuhan cukai yang semakin kompleks, kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan seperti LHDN dan SSM amat penting bagi memastikan tindakan yang lebih bersepadu, berkesan dan menyeluruh.

Tambah beliau lagi, pegawai yang terlibat dalam OP Rejang bukan sahaja berperanan dalam penguatkuasaan, malah sebagai ejen pendidikan untuk menyampaikan maklumat berkaitan e-Invois secara berhemah dan jelas kepada pembayar cukai ke arah membina budaya pematuhan yang lestari.

“LHDN percaya dengan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan yang lebih berfokus dan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain secara berterusan dapat meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pembayar cukai sekali gus agenda memperkasa ekonomi negara akan terus diperkukuh dan menjadi model rujukan kepada operasi-operasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here