Tengku Zafrul (kanan) dan Onn Hafiz (kiri) dalam Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama JS-SEZ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia dan negara ASEAN tidak akan melibatkan diri dalam perang tarif dengan Amerika Syarikat (AS), sebaliknya memilih jalan rundingan untuk menguntungkan kedua-dua pihak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan bertemu wakil pelaburan AS di Washington pada Khamis depan.

“Perlu saya tegaskan sekali lagi bahawa Malaysia, bersama rakan-rakan ASEAN, tidak akan melaksanakan sebarang tarif balas. Dari sudut pandang ASEAN, tindakan balas sedemikian adalah tidak membina dan hanya akan memburukkan keadaan.

“Sebaliknya, rantau ini memilih pendekatan yang konstruktif dan berpandangan jauh ke hadapan dalam berinteraksi dengan Amerika Syarikat dengan matlamat memperkukuh hubungan ekonomi dan menangani cabaran bersama secara berhemah.

“Isu tarif ini turut dianggap sebagai ujian terhadap kesatuan dan peranan pusat ASEAN dalam landskap serantau. Liberation Day telah menghidupkan semula dan mengintensifkan perdebatan mengenai sejauh mana pendekatan ASEAN Way sesuai dalam konteks integrasi serantau.

“Namun begitu, saya amat terharu dengan semangat kebersamaan yang ditunjukkan rakan-rakan saya dalam menghadapi isu ini. Satu petanda positif ASEAN tetap teguh sebagai satu entiti yang bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

Jelas Zafrul, walaupun proses berkenaan panjang dan kompleks, pihaknya akan mencari penyelesaian yang saling diterima, adil dam saksama secara dua hala atau pelbagai hala.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif Asas 10 peratus ke atas semua negara.

Sementara duti import lebih tinggi dikenakan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast