Pertemuan Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, di Jakarta.

JAKARTA – Malaysia dan Indonesia mahu menjemput Thailand dan semua yang terlibat dalam pengeluaran minyak sawit untuk menyertai Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) sebagai usaha memperkukuhkan suara ASEAN dalam isu berkaitan pengeluaran minyak sawit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai langkah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam industri minyak kelapa sawit secara bersama.

“CPOPC ini membolehkan perbincangan di antara Indonesia, Malaysia dan juga Thailand diadakan bersama-sama dengan keluarga sawit yang lain, supaya koordinasi dapat diselaraskan bagi kita menembusi pasaran serantau dan pasaran antarabangsa.

“Ia terutamanya untuk negara-negara yang memerlukan penggunaan minyak masak dan pertambahan dapat dilakukan,” katanya katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan tersebut di Istana Wakil Presiden, Jakarta.

Hadir sama dalam pertemuan rasmi tersebut adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, perkara ini dibincangkan dalam pertemuan kira-kira 45 minit dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, pagi tadi.

Thailand menduduki tempat ketiga sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, selepas Indonesia dan Malaysia.

Walaupun sumbangannya hanya sekitar 4.3 peratus daripada pengeluaran global pada tahun 2021, industri ini memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

Selain isu ini, situasi di Gaza turut mendapat perhatian Ahmad Zahid dan Gibran.

Jelas Ahmad Zahid, Malaysia dan Indonesia sepakat untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan.

“Oleh yang demikian, komuniti antarabangsa harus bersama-sama mengenepikan soal-soal perbezaan kecil ataupun ideologi mahupun pegangan tapi atas nama kemanusiaan.

“Kita harus memobilisasikan masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian di Gaza dan mengadakan rekonstruksi di Gaza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here