Kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia menerusi sektor pendidikan tinggi terus diperkukuhkan menerusi pemeteraian tiga Surat Hasrat (LOI).

JAKARTA – Kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia menerusi sektor pendidikan tinggi terus diperkukuhkan menerusi pemeteraian tiga Surat Hasrat (LOI).

Dua daripadanya melibatkan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi DKI Jakarta serta Sumatera Barat.

Malah satu lagi melibatkan Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama Kerajaan Sumatera Barat bagi menyelaras penghantaran pelajar tajaan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Majlis itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini dengan ditemani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam sidang medianya, Ahmad Zahid berkata pemeteraian itu merupakan salaj satu strategi penting bagi Malaysia membina tenaga kerja mahir selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

“Kita beri tumpuan kepada pelajar-pelajar berpotensi dari Indonesia kerana sistem pendidikan kita bukan sahaja selari dengan sistem pendidikan Komanwel yang diiktiraf antarabangsa, malah turut menekankan pendedahan dwi bahasa, Melayu dan Inggeris,” katanya.

LOI UniKL dengan DKI Jakarta memberi tumpuan kepada pembangunan program TVET dalam bidang penyelidikan bersama, mobiliti pelajar, hubungan industri, sokongan teknikal dan pemindahan kredit. Inisiatif ini sejajar dengan matlamat Jakarta untuk membina tenaga kerja yang mahir dalam pembangunan infrastruktur, perancangan bandar dan pentadbiran awam sejajara dengan visi Jakarta sebagai hab ekonomi global.

LOI UniKL dengan Sumatera Barat pula memberi tumpuan kepada usaha memperkenalkan program Ulul Albab Hufaz TVET Minangkabau, yang menggabungkan prinsip Islam dan warisan budaya Minangkabau dalam latihan vokasional.

Inisiatif ini bertujuan memperkasa golongan Hafiz al-Quran dengan kepakaran teknikal dan kemahiran keusahawanan, memenuhi keperluan industri tempatan dan global.

Kedua-dua kerjasama selama lima tahun ini dijangka akan memanfaatkan sumber akademik dan keupayaan penyelidikan UniKL, disokong oleh dasar kerajaan wilayah serta jaringan industri di Indonesia bagi memacu peningkatan kebolehpasaran melalui program TVET sejajar dengan keperluan industri, memperkukuh penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan vokasional, menggalakkan pemeliharaan budaya menerusi integrasi dalam kurikulum dan memacu pertumbuhan ekonomiyang didorong oleh tenaga kerja mahir yang pantasmenyesuaikan diri mengikut keadaan.

Ahmad Zahid turut menekankan kelebihan pelajar di Malaysia yang terdedah kepada kepelbagaian budaya dan penguasaan bahasa, sesuai dengan keperluan global masa kini.

Tambahnya lagi, kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh hubungan dua hala, malah memberi nilai tambah kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN khususnya dalam memacu integrasi pendidikan serantau dan melahirkan belia berkemahiran tinggi dalam era Revolusi Industri 4.0.

“Saya berhasrat agar UniKL bukan hanya membuka peluang pada pelajar-pelajar daripada Malaysia tetapi Surat Hasrat pada hari ini juga untuk membawa pelajar-pelajar daripada Indonesia,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejumlah lebih 11,000 pelajar dari Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia tahun lalu sahaja dengan peningkatan permohonan sebanyak 28 peratus dicatatkan untuk tahun 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here