JOHOR BAHRU – Seorang daripada dua beradik yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau di sini malam tadi, berhasrat mengikat tali pertunangan hujung tahun ini.
Bakal tunang kepada Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, iaitu Mohd Dzulfitri A Halim, 21, yang bekerja sebagai penyelia kilang berkata, mereka merancang hari bahagia itu selepas berkawan sejak di bangku sekolah lagi.
“Saya kenal dengan Nuraisyah sejak bangku sekolah lagi, masa itu saya tingkatan tiga dan dia pula tingkatan dua, kami kenal secara serius selepas kami mengikuti rombongan yang dianjurkan Kelab Kompang Felda Ulu Tebrau ke Melaka pada tahun 2018.
“Kira-kira kami kenal sudah tujuh tahun, saya kenal keluarga dia, dia pula kenal keluarga saya, saya ada berbincang dengan keluarga saya untuk masuk meminang dia.
“Tapi mak saya nasihat supaya habiskan bayar ansuran bulanan motosikal dahulu sebelum bertunang, motosikal habis bayar bulan ini, jadi saya rancang nak bertunang hujung tahun ini, kedua-dua pihak bersetuju tetapi itulah dia pergi dahulu saya reda,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismai (HSI) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, Nuraisyah membonceng motosikal yang ditunggang adiknya, Ammar Saifullah, 15, maut dalam kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.
Kedua-dua beradik tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Arwah Nuraisyah merupakan anak sulung empat beradik sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Sementara menunggu keputusan keluar, Nuraisyah baharu sahaja dua minggu bekerja sebagai operator sebuah kilang di Desa Cemerlang di sini.
Bercerita lanjut, Mohd Dzulfitri berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Nuraisyah sehari sebelum kejadian.
Katanya, mereka meluangkan masa bersama-sama keluar makan sempena hari cuti bekerja pada hujung minggu.
“Selepas masing-masing balik rumah keesokkan harinya, Nuraisyah menghantar mesej memberitahu hendak beraya di rumah bapanya di Ulu Tiram.
“Masa itu saya ingatkan dia keluar naik kereta, tak sangka dia naik motosikal dengan adik, saya dapat tahu mereka kemalangan selepas kawan beritahu,” katanya.
Tambahnya, Nuraisyah berhasrat menyambung pelajaran untuk menjadi guru tetapi tidak kesampaian.- MalaysiaGazette