KUALA LUMPUR – Pemergian pemimpin utama gereja Roman Katolik, Pope Francis merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada penganut agama itu tetapi juga masyarakat dunia yang menghargai nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kedamaian global.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang yang merakamkan ucapan takziah kepada komuniti Katolik di seluruh dunia berkata, mendiang sentiasa memperjuangkan isu-isu kemiskinan, pelarian, keadilan sosial.
Malah sehari sebelum meninggal dunia Pope Francis menyentuh mengenai situasi di Gaza dan mengharapkan keamanan dapat dicapai di wilayah Palestin itu dalam ucapan terakhir pada Easter Sunday.
“Pope Francis dikenali sebagai pemimpin agama yang merendah diri, penuh kasih sayang, dan berani memperjuangkan suara-suara yang terpinggir.
“Beliau menzahirkan erti sebenar perpaduan dengan menyeru kepada dialog antara agama, menghormati kepelbagaian, dan memupuk keharmonian dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan.
Gereja Roman Katolik mengesahkan bahawa Pope Francis, 88, meninggal dunia di Vatican City kira-kira jam 7.35 pagi waktu tempatan dan pengumuman itu dibuat Pegawai kanan Gereja Katolik, Kardinal Kevin Farrell dalam satu pengumuman menerusi saluran TV Vatican
Keadaan kesihatan pemimpin Gereja Katolik dan Kota Vatican itu sebelum ini dilaporkan semakin kritikal selepas mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk radang paru-paru atau pneumonia.
Beliau dimasukkan ke hospital Gemelli, Rom pada 14 Februari lalu selepas mengalami kesukaran bernafas selama beberapa hari sebelum disahkan menghidap radang paru-paru di kedua-dua belah paru-parunya.
Pope Francis atau nama sebenarnya Jorge Mario Bergoglio yang berasal dari Argentina memimpin 1.3 bilion penganut mazhab itu di seluruh dunia.
Dalam ucapan terakhirnya semalam, Pope Francis mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera di Gaza dalam mesej Paskah yang dibacakan oleh seorang pembantu pada Ahad (20 Apr) ketika Pope yang masih pulih daripada radang paru-paru, melihat semasa penampilan ringkas di balkoni utama Basilika St Peter.
Beliau mengehadkan beban kerjanya atas arahan doktor, tidak mempengerusikan Misa Vatican untuk Paskah tetapi muncul pada penghujung acara untuk berkat dan mesej dua kali setahun yang dikenali sebagai “Urbi et Orbi” (kepada bandar dan dunia).
Sebelum berada di hospital selama lima minggu akibat radang paru-paru, yang hampir membunuhnya, Pope Francis telah meningkatkan kritikan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza, dengan menggelar situasi kemanusiaan di kawasan Palestin sebagai “sangat serius dan memalukan” pada Januari.
Dalam mesej Paskah, Pope berkata situasi di Gaza adalah “dramatik dan menyedihkan”. Pope juga menyeru kumpulan pejuang Palestin supaya membebaskan tebusan yang masih ada.
“Saya menyatakan kedekatan saya dengan penderitaan…semua rakyat Israel dan rakyat Palestin,” kata mesej itu.
“Saya merayu kepada pihak yang bertelagah: Panggil gencatan senjata, lepaskan tebusan dan bantu rakyat kelaparan yang bercita-cita untuk masa depan keamanan,” katanya. – Agensi