Gambar hiasan.

SATU fakta yang mungkin jarang diketahui ramai adalah Malaysia merupakan negara kedua di dunia yang penduduknya paling banyak menggunakan platform media sosial.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan banyak syarikat telekomunikasi menawarkan perkhidmatan jalur lebar mereka pada harga yang mampu dimiliki majoriti rakyat negara ini.

Capaian telekomunikasi dan digital negara juga boleh dikatakan meliputi hampir seluruh negara, sekali gus memastikan tidak ada seorang pun yang terlepas daripada menikmati pengalaman internet walau di mana mereka berada sekali pun.

Lebih daripada itu, kebebasan yang diberikan kerajaan kepada rakyat untuk menikmati pengalaman digital dan jalur lebar menjadi faktor utama mengapa Malaysia mencatatkan jumlah pengguna media sosial antara tertinggi di dunia.

Namun, kebebasan itu tidak bermakna pengguna media sosial boleh berbuat sesuka hati dalam dunia maya tanpa perlu memikirkan kesan dan tanggungjawab.

Sudah semestinya, terdapat batasan yang perlu dipatuhi pengguna media sosial dalam memastikan tidak ada garis yang dilanggar sehingga boleh menggugat keharmonian dalam masyarakat.

Batasan itu pula sangat mustahak mengambil kira Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, yang mana isu-isu sensitif khususnya menyentuh mengenai agama dan kaum sering diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu khususnya berkaitan politik.

Di sinilah peranan yang dimainkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memastikan penggunaan media sosial berlangsung dalam kerangka yang sewajarnya tanpa menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan keamanan negara.

Perkara sama diakui oleh pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. P. Sundramoorthy yang menyifatkan MCMC memainkan peranan penting dalam menangani ucapan kebencian dalam talian, khususnya dalam era media sosial hari ini.

Jelasnya, meskipun kebebasan bersuara amat penting dalam sesebuah masyarakat demokratik dan bertamadun seperti di Malaysia, namun ia perlu mempunyai batasan tertentu.

“Dalam masa sama, tindakan yang diambil MCMC juga adalah selaras dengan bidang kuasa yang dipertanggungjawabkan terhadap agensi berkenaan termasuk hukuman bersifat denda dan penjara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ini juga menjelaskan mengapa MCMC sejak kebelakangan ini begitu agresif menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa pengguna media sosial yang dilihat menyentuh perkara sensitif.

Tindakan seperti memanggil dan merekod keterangan bagi membantu siasatan terhadap individu tertentu itu dibuat berdasarkan kerangka undang-undang sedia ada khususnya di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ia sama ada menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang sering dirujuk sebagai 3R (agama, kaum dan raja) atau sebarang kandungan yang bersifat fitnah; tidak benar; jelik dan sebagainya.

Di bawah akta ini, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai contoh, penguatkuasaan akta sebegini telah dikenakan ke atas kesalahan membabitkan penyampai Radio Era baru-baru ini yang mana majikan mereka dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.

Selain itu, seorang individu sebelum ini juga pernah dikompaun berjumlah RM25,000 di bawah akta sama kerana memuat naik kandungan palsu berkaitan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran tahun lalu.

Banyak lagi kes-kes kompaun dikenakan sama ada ke atas individu atau syarikat berkait kesalahan penggunaan media sosial itu, sekali gus menunjukkan pentingnya tindakan penguatkuasaan oleh MCMC dalam memastikan persekitaran digital dan jalur lebar yang selamat di negara ini.

Lebih daripada itu, tindakan undang-undang tegas yang diambil MCMC juga adalah sebagai pengajaran kepada pihak-pihak lain pada masa depan supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan ke dalam media sosial.

Bagaimanapun, Sundramoorthy berpandangan, akta di bawah MCMC boleh diperkasakan lagi dalam menambah keberkesanan hukuman sekiranya terdapat undang-undang Jenayah Kebencian.

Dengan adanya undang-undang itu, MCMC akan mempunyai garis panduan yang jelas dan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan ke atas isu yang melibatkan kebebasan bersuara.

Ujarnya, undang-undang Jenayah Kebencian juga akan menyediakan garis panduan yang jelas bagi memastikan siasatan diberikan keutamaan, sekali gus membolehkan jenayah kebencian ditangani dengan cepat dan berkesan.

“Dengan memberi keutamaan yang sewajarnya, pihak berkuasa dapat melindungi mangsa serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Undang-undang sebegini sangat penting untuk melindungi komuniti yang terdedah, memelihara keharmonian masyarakat dan menjamin keadilan untuk semua warga dan penduduk di Malaysia Madani,” katanya.

Sesuatu yang pasti, MCMC perlu terus memainkan peranan sebagai `pengawal’ di alam maya dengan menguatkuasakan Akta 588 seperti yang dilakukan dengan agresif ketika ini.

`Pengawal’ di sini bukan bermaksud menyekat atau menghalang kebebasan di media sosial seperti yang sering dimomokkan terhadap MCMC oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk tindakan berlandaskan undang-undang dan mengambil pertimbangan dari pelbagai sudut termasuk keselamatan negara, isu perpaduan kaum dan agama, impak kepada ekonomi, keyakinan kepada kerajaan dalam memperkasa undang-undang dan sebagainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here