Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM ketika menyertai kursus Kewartawanan Berasaskan Pengetahuan di Hat Yai, Thailand, pada 18 hingga 19 April lalu. - Foto: USM

KUALA LUMPUR – Selari dengan aspirasi dan kepentingan pembelajaran di luar bilik kuliah dan pembelajaran berdasarkan pengalaman sebenar, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) melalui kursus Kewartawanan Berasaskan Pengetahuan menganjurkan lawatan akademik melibatkan 48 pelajar tahun dua bidang kewartawanan ke Hat Yai, Thailand, pada 18 hingga 19 April lalu.

Lawatan akademik dan antara budaya itu bagi membolehkan pelajar kewartawanan menjalankan kajian lapangan dan mendapatkan pendedahan tentang perkembangan industri pelancongan makanan di Thailand untuk dijadikan sumber informasi dan rujukan bagi projek penulisan laporan khas mereka.

Melalui program itu, pelajar kewartawanan juga berpeluang mengunjungi Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Thaksin University, Songkhla, Thailand dan bersuai kenal bersama pelajar dan pensyarah di fakulti terbabit di samping bertukar pengalaman serta pandangan.

Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM ketika menyertai kursus Kewartawanan Berasaskan Pengetahuan di Hat Yai, Thailand, pada 18 hingga 19 April lalu. – Foto: USM

Kehadiran mereka disambut Timbalan Dekan Perhubungan Antarabangsa dan Ketua Program bagi Media Dan Kajian Budaya di Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Thaksin University iaitu Prof. Dr. Tanapat Temrattanakul.

Menurut Ketua Penyelaras kursus itu, Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, program tersebut kali kedua dianjurkan sejak kursus baharu berkenaan ditawarkan di USM.

Jelas beliau, pada tahun lalu, pelajar kewartawanan yang mengambil kursus terbabit dibawa ke pusat konservasi orang utan di Bukit Merah, Perak untuk menjalani kajian lapangan bagi penulisan mereka.

Tambah beliau, para pelajar jelas teruja dan memberikan maklum balas amat positif mengenai peluang untuk mereka merasai pengalaman “kembara dan tulis” yang membezakan kursus tersebut dengan kursus-kursus lain.

“Sokongan yang baik dari Pusat Pengajian Komunikasi khususnya melalui Dekan, Prof. Madya Dr. Bahiyah Omar dalam memberikan bantuan kewangan tambahan kepada pelajar juga membuatkan program ini dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah program tersebut, Umar Norli Hisham menyifatkan lawatan berkenaan dapat meningkatkan pemahaman dan pengalaman mengenai budaya masyarakat serantau khususnya yang berkait dengan industri pelancongan makanan di Thailand.

Pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM ketika menyertai kursus Kewartawanan Berasaskan Pengetahuan di Hat Yai, Thailand, pada 18 hingga 19 April lalu.

“Saya berharap kursus ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai pelajar kewartawanan mendapat manfaat dan pengalaman belajar di luar bilik kuliah dan bekerja secara berkumpulan di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Tanapat menyambut baik lawatan tersebut yang disifatkan mampu dijadikan peluang kepada kedua-dua universiti untuk menjalin kerjasama akademik.

“Melalui lawatan ini, kedua-dua pihak memperoleh pemahaman budaya yang lebih mendalam menerusi perkongsian informasi yang berkaitan pelancongan makanan dan pengalaman menarik lain,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin kerjasama itu akan terus berkembang pada masa akan datang, sekali gus mencapai matlamat yang telah disepakati bersama khususnya dalam pembangunan dan kemajuan akademik pelajar serta pensyarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here