KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor meneruskan insentif rawatan tibi sebanyak RM800 tahun ini sebagai usaha berterusan memerangi penularan penyakit itu dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, bantuan itu demi memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan pesakit terutamanya daripada golongan B40 dapat meneruskan rawatan secara konsisten sehingga mencapai kesembuhan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia dan Persidangan Tibi 2025 Peringkat Negeri Selangor di Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, Selangor, hari ini.
Jamaliah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kekal memainkan peranan teras dalam mendepani cabaran beban semasa penyakit berkenaan.
Katanya, antara inisiatif utama termasuk melabur dalam teknologi kesihatan seperti penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.
“Di samping itu, ujian makmal terkini serta formulari ubat mesra kanak-kanak yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memperkukuh lagi usaha merawat pesakit di semua peringkat usia.
“Pendekatan melalui inovasi perubatan ini diharap dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan beban penyakit dalam komuniti,” jelas beliau.
Menurut Jamaliah, tahun lalu Malaysia mencatatkan 26,183 kes tibi dengan Selangor menyumbang kira-kira 20 peratus atau 5,337 kes.
“Kadar insiden penyakit ini juga meningkat pada purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020, menjadikan keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak.
“Namun begitu, kerjasama antara Kerajaan Negeri, JKNS dan MAPTB telah membuahkan hasil apabila kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80 peratus pada tahun 2020 kepada 88 peratus pada 2024,” katanya.-MalaysiaGazette