KUALA LUMPUR – Faktor kecuaian disifatkan tidak masuk akal dalam kesilapan Jalur Gemilang melibatkan akhbar berbahasa Cina dan pempamer di TCE Baby Expo baru-baru ini.
Ini kerana, kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Young Syefura Othman, grafik Jalur Gemilang itu sebelum dicetak atau diterbitkan akan melalui pelbagai tapisan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong mengecam sekeras-kerasnya kejadian itu memandangkan bendera merupakan simbol kedaulatan negara dan hukuman sewajarnya perlu diambil.
Tambah beliau, kebelakangan ini juga, pelbagai naratif jahat dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Acap kali, juga katanya, isu-isu yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian yang telah lama tersemat dalam negara tercinta turut didengari.
“Saya berharap agar kita semua tidak termakan dek naratif dangkal hanya untuk kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab dan inisiatif kecil ini dapat memberikan impak yang besar lantas perpaduan, keharmonian serta semangat cinta akan tanah air berkekalan,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Young Syefura menghadiri majlis simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak.
Mengulas mengenai langkah memakai lencana itu, beliau berkata, ia bertujuan memupuk semangat patriotisme dan cinta akan negara, sekali gus berharap menjadi titik tolak bagi menerap semangat perpaduan yang besar kepada generasi muda.
Bermula hari ini, seramai 5.3 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing dengan pelancarannya dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
Ia susulan pengumuman KPM sebelum ini berkenaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, langkah berkenaan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kontroversi sehingga disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kesilapan menerbitkan grafik Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar berkenaan.
Beberapa hari kemudian, penganjur pameran TCE Baby Expo pula dikesan melakukan kesilapan serupa melibatkan salah satu pempamernya dan tampil membuat permohonan maaf. – MalaysiaGazette