Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan semua aspek persiapan termasuk keadaan padang dan fasiliti sokongan kini berada dalam keadaan terbaik menjelang beberapa perlawanan berprofil tinggi  di negara ini.

Antara perlawanan yang dinantikan termasuk aksi melibatkan kelab gergasi England, Manchester United serta pertembungan Harimau Malaya menentang Vietnam.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk memastikan kelancaran penganjuran termasuk daripada segi keselesaan pasukan dan penyokong.

“Kalau dilihat kepada keadaan padang sekarang, kita memang sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Beliau mengakui sebelum ini terdapat kebimbangan berkaitan tahap kesiapsiagaan padang namun menegaskan semua isu telah diperbaiki dan ditambah baik bagi memastikan kualiti berada pada tahap optimum.

“Segala persiapan telah pun diselesaikan sepenuhnya malah skuad Harimau Malaya telah melakukan lawatan minggu lalu, diikuti jurulatih yang turut turun padang untuk meninjau fasiliti.

“Alhamdulillah, semua pihak menyatakan rasa puas hati terhadap keadaan padang dan kemudahan yang disediakan,” tambahnya.

Berdasarkan penilaian tersebut, Stadium Nasional Bukit Jalil turut dipilih sebagai venue perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam yang mana menurut Iliyas mencerminkan keyakinan penganjur terhadap mutu penganjuran di stadium berkenaan.

“Sebab itu mereka putuskan untuk mengadakan perlawanan menentang Vietnam di sini,” ujarnya.

Perlawanan akan datang dijangka menarik kehadiran ribuan penyokong, sekali gus menjadi ujian besar kepada keupayaan pengurusan stadium dalam memastikan penganjuran bertaraf antarabangsa berjalan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here