KUALA LUMPUR – Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam empat serbuan berasingan di sekitar Klang, Subang Jaya dan Petaling Jaya, semalam.
Pengarah JIM Selangor, Khairul Amimus Kamarudin berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan lima wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Menurutnya, operasi bersepadu yang digerakkan menerusi Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Minyak itu mula dijalankan pada jam 2.00 petang.
“Di lokasi pertama di Klang, seramai 10 lelaki warga Myanmar ditahan, manakala di lokasi kedua juga di Klang, kami menahan 13 lelaki dan empat wanita Myanmar.
“Seterusnya, di Subang Jaya, lapan lelaki dan seorang wanita Myanmar turut dicekup, manakala lapan lelaki warga Bangladesh ditahan di lokasi keempat di Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairul Amimus berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga saman saksi kepada tiga majikan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette.