Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah di Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang pemuda dipukul sekumpulan lelaki di sebuah perumahan pangsapuri Plentong Baru, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 21 tahun pada Sabtu lalu.

“Kejadian berlaku pukul 9.30 malam. Hasil siasatan mendapati mangsa pergi ke rumah pangsapuri tersebut atas jemputan seorang wanita kenalan melalui aplikasi media sosial.

“Setelah sampai ke dalam rumah mangsa dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh lapan lelaki tempatan.

“Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami luka di bahagian bibir, telinga kiri dan sakit akibat bengkak badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 2.30 pagi kelmarin sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 26 tahun.

Jelasnya, lima daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin hingga 26 April ini dan kes disiasat bawah Seksyen 342, 385 dan 324 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular dalam media sosial video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu dalam sebuah rumah.

Video tular menunjukkan mangsa kelihatan lemah dan tidak mampu melawan, dipukul bertubi-tubi oleh kira-kira lima hingga tujuh individu hingga separuh mati.

Rakaman itu cukup menyayat hati kerana mangsa yang sudah longlai dilihat meronta-ronta menahan kesakitan namun terus dibelasah tanpa simpati.

Sekumpulan remaja lelaki itu menggunakan tangan dan kaki selain turut ditumbuk di bahagian muka, dada dan anggota badan lain.

Difahamkan mangsa bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang.

Ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu daripada seorang wanita yang meminta supaya dia menemaninya di rumah sewa di Plentong.

Mangsa tiba di rumah tersebut pukul 9.30 malam dan tidak lama kemudian, tiga lelaki tidak dikenali datang ke rumah itu,  seorang daripadanya dipercayai membawa senjata.

Susulan itu, tiga lagi lelaki keluar dari sebuah bilik dan bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai, termasuk menggunakan kayu.

Kumpulan lelaki terbabit meminta mangsa membayar wang RM3,000 namun mangsa hanya menyerahkan RM600 kepada suspek.

Malah, sebuah motosikal Yamaha Y16 dirampas.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Plentong, Seri Alam pukul 11.14 malam, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here