JAKARTA – Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia bakal dilengkapkan dengan pertemuan bersama Presiden Prabowo Subianto.
Beliau dijangka mengadakan pertemuan empat mata bersama Prabowo di Istana Merdeka jam 3 petang waktu tempatan.
Ahmad Zahid tiba di Indonesia pada Ahad lalu bagi lawatan rasmi selama tiga hari.
Lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran, khususnya dalam bidang pendidikan, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar, serta pengurusan dan kesiapsiagaan bencana.
Ahmad Zahid sebelum itu mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, semalam.
Kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai peluang kerjasama, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, serta pembangunan luar bandar.
Sepanjang lawatan tersebut, tiga Surat Pernyataan Hasrat telah ditandatangani dua daripadanya berkaitan kerjasama TVET antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan pihak berkuasa tempatan Jakarta serta Sumatera Barat, manakala satu lagi melibatkan kerjasama antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Sumatera Barat dalam bidang pendidikan tinggi.
Ahmad Zahid Hamidi turut melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bagi meneliti kesiapsiagaan Indonesia dalam pengurusan bencana.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan minat untuk mendalami serta berkongsi pengalaman berkaitan usaha mitigasi dan kesiapsiagaan bencana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Indonesia menerusi BNPB. – MalaysiaGazette