KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan menyerahkan bantuan sewa rumah bagi tiga bulan pertama kepada ketua isi rumah yang terbabit kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Khamis ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat akan dipanggil bagi proses penyerahan bantuan.
“Khamis ini kita akan panggil semua penduduk (terbabit) dan mula menyerahkan sewa untuk tiga bulan pertama
“(Bayaran) akan dimasukkan ke akaun mereka secara terus sebab itu kira panggil mereka untuk bagi taklimat dan beri mereka dalam bentuk wang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle di Pusat Konvensyen Shah lam (SACC).
Menurut beliau, pihaknya juga akan membuat penerangan mengenai pembaikan rumah terjejas.
“Nanti saya akan maklumkan selepas pembentangan kepada mereka mungkin Khamis ini, kita panggil mereka semua Khamis ini.
“Kita kena koordinasikan sebab lokasi berbeza iaitu satu di kawasan kampung dan satu lagi di kawasan taman,” tambahnya.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, pihaknya juga telah menghantar cadangan berhubung pembaikan rumah yang terjejas kepada Kabinet.
Sebagai rekod, kebakaran yang berpunca daripada kebocoran paip gas ada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya. – MalaysiaGazette