MELAKA – Seorang bekas penghantar barang terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 10.8 kilogram dadah jenis syabu empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Yee Kok Chong, 44, pada akhir kes pembelaan.
Mohd. Radzi dalam penghakimannya memberitahu, kegagalan pendakwaan memanggil saksi penting telah menyebabkan prejudis terhadap pembelaan tertuduh.
“Pendakwaan gagal memanggil saksi penting yang telah ditangkap dan dituduh bersama Kok Chong dan ini telah memprejudiskan pihak pembelaan dalam membuat pembelaan terhadap tertuduh.
“Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan satu keraguan munasabah terhadap tertuduh,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 10,898 gram di bangku kayu, Persimpangan Lereh 3 dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7.05 malam 14 Januari 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Saleh manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh dan Ramzani Idris.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan. – MalaysiaGazette