KUALA TERENGGANU – Bekas penolong jurulatih boling yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA) terpaksa meringkuk di penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas menolak rayuan dikemukakan Mat Salleh Jalani, 62, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 16 Mei tahun lepas.
“Mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang disabitkan Mahkamah Sesyen sebelum ini,” katanya, dan mengarahkan Mat Salleh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mahkamah Sesyen sebelum ini, mendapati lelaki itu bersalah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang pada Mac 2018.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala Mat Salleh diwakili peguam Wan Suhaili Wan Ismail.
Wan Suhaili memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA