Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Agenda integriti nasional hanya dapat direalisasikan melalui komitmen menyeluruh daripada semua peringkat, termasuk barisan kepimpinan tertinggi, pelaksana dasar dan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pelaksanaan program CeIO bukan sekadar latihan biasa, sebaliknya merupakan pelaburan strategik jangka panjang demi memperkukuh tadbir urus negara.

“Ia adalah salah satu inisiatif penting ke arah pembinaan sistem tadbir urus yang lebih telus, beretika dan bebas daripada rasuah.

“CeIO memainkan peranan sebagai ejen penggerak dalam memupuk budaya integriti di organisasi masing-masing, sekaligus menyumbang kepada kejayaan agenda integriti nasional,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Azam, semua peserta ditauliahkan selepas berjaya melengkapkan empat modul utama sepanjang 2023 hingga 2024 yang merangkumi aspek Pengurusan Integriti dan Perundangan; Pengurusan Aduan, Pengesanan dan Pengesahan serta Tatatertib; Pematuhan, Pengukuhan Integriti dan Tadbir Urus; serta Pembentukan Pelan Integriti dan Pengurusan Risiko Rasuah.

Tambah beliau, CeIO bukan sahaja bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau program integriti, malah menjadi pemangkin kepada budaya kerja berintegriti dalam kalangan penjawat awam selain berperanan mencegah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Seramai 586 pegawai daripada sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta ditauliahkan pada majlis konvokesyen tersebut.

Program CeIO diperkenalkan sejak 2010 dan sehingga kini telah melahirkan seramai 2,851 pegawai daripada pelbagai sektor bagi memperkasa tadbir urus serta budaya integriti negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here