KUALA LUMPUR – Dua wanita direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan sindiket pembelian bayi dan penyediaan sijil kelahiran palsu dengan bayaran kira-kira RM10,000.
Perintah tahanan reman sehingga 26 April itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 1 petang, semalam.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2023 apabila salah seorang suspek meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM10,000 melalui akaun bank milik ejen.
“Manakala suspek kedua yang bertugas di sebuah hospital swasta di Melaka pula disyaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kelahiran bayi menggunakan maklumat matan palsu, meskipun tiada rekod kelahiran di hospital terlibat,” katanya.
Difahamkan, tangkapan ini merupakan kesinambungan daripada ‘Op Birth’ yang melibatkan ejen dan sindiket, manakala kes terbaharu ini digerakkan melalui ‘Op Child’.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan bagi membantu siasatan kes ini. – MalaysiaGazette.
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast