GENEVA – Penduduk Gaza sudah berdepan dengan kebuluran yang meluas selepas berada dalam sekatan Israel daripada semua bentuk sekatan selama 50 hari.
“Gaza telah menjadi tanah terdesak,” Philippe Lazzarini, ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin UNRWA menerusi X.
Katanya, masalah kelaparan penduduk Gaza kini semakin mendesak akibat perbuatan manusia yang disengajakan.
Selepas 18 bulan perang yang dahsyat dan sekatan bantuan Israel sejak 2 Mac, PBB telah memberi amaran tentang situasi kemanusiaan yang teruk bagi 2.4 juta penduduk wilayah Palestin.
Israel menuduh Hamas mengalihkan bantuan, namun dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.
Ketua 12 organisasi bantuan utama itu memberi amaran “kebuluran bukan hanya risiko, tetapi mungkin berlaku dengan cepat di hampir semua bahagian” wilayah itu.
“Anda boleh melihat kecenderungan yang jelas ke arah bencana secata total,” Jens Laerke, jurucakap agensi kemanusiaan PBB OCHA memberitahu pemberita di Geneva.
“Memang benar sekarang ini mungkin situasi kemanusiaan paling teruk yang pernah kita lihat sepanjang perang di Gaza,” ujarnya.
Dalam catatannya di X, Lazzarini mempersoalkan: “Berapa lama lagi sehingga kata-kata kosong kutukan akan diterjemahkan supaya sekatan ditarik balik dan meneruskan gencatan senjata serta menyelamatkan apa sahaja yang tinggal daripada manusia?”
Ketua UNRWA mengecam tindakan Israel itu telah mengakibatkan dua juta orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, “menjalani hukuman kolektif”.
“Orang yang cedera, sakit dan warga tua kehilangan bekalan dan penjagaan perubatan,” katanya, walaupun organisasi kemanusiaan seperti UNRWA mempunyai beribu-ribu trak menunggu dengan bekalan yang berisiko tamat tempoh.
“Bantuan kemanusiaan digunakan sebagai cip tawar-menawar dan senjata perang,” dakwanya.
“Kepungan mesti ditarik balik, bekalan mesti mengalir masuk, tebusan mesti dibebaskan, gencatan senjata mesti diteruskan,” tegasnya. – Agensi