Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya FINAS di Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 22 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhak menyuarakan apa jua pandangan berhubung proses pemilihan parti itu yang sedang berlangsung ketika ini.

Malah Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil juga menyifatkan Hasan sebagai seorang yang mempunyai banyak pandangan.

“Pak Hasan banyak pandangan dan dia berhak untuk menyuarakan pandangan itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya Finas di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditanya berkenaan kenyataan Hasan yang menyifatkan keputusan pemilihan parti itu bagi penggal 2025-2028 sebagai satu isyarat jelas penolakan akar umbi terhadap budaya politik elit dan kartel dalam parti tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, Hasan berkata, ramai tokoh besar yang pernah menang dalam pemilihan PKR 2022 di bawah kem kartel ‘Ayuh Malaysia’ kini tewas mengejut kepada calon-calon baharu yang tidak memiliki nama besar mahupun jawatan tinggi dalam kerajaan.

Hassan turut mendakwa pemimpin yang dulunya didukung kuat oleh jentera parti semasa pilihan raya kini semakin menjauhkan diri daripada anggota biasa setelah berada di tampuk kuasa.

Ditanya berkenaan rayuan yang dikemukakan beberapa pemimpin PKR yang tewas dalam pemilihan parti tersebut, Fahmi berkata, perkara tersebut boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

“Tetapi setakat ini belum ada apa-apa perkembangan terbaharu daripada JPP,” katanya.

Pemilihan PKR 2025 melibatkan lebih 222 cabang di seluruh negara yang dibuat menerusi online menyaksikan beberapa kejutan apabila beberapa nama besar termasuk Menteri dan Timbalan Menteri tewas.

Antaranya ialah kekalahan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Kejutan lain termasuk kekalahan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim yang gagal dalam percubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila tewas kepada pencabarnya, Zamzizul Nordin.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Johor Bahru.

Di Selangor pula, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail turut tewas dalam saingan Ketua Cabang Shah Alam dengan nasib sama turut dialami Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang tewas bagi jawatan Ketua Cabang Batu.

Lebih menarik, kekalahan nama-nama besar pemimpin PKR berkenaan dikaitkan dengan kem penyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here