PUTRAJAYA – Insentif RM1 bilion telah disalurkan kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insentif itu sedang dilaksanakan secara berterusan.
“Kita beri RM1 bilion secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tuntutan Kerajaan Kedah yang akan terus berusaha menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga menolak cadangan dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) iaitu bayaran sebanyak RM41 juta setahun kepada Kedah melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).
Katanya, jumlah itu dilihat terlalu rendah berbanding kehilangan hasil yang dikorbankan negeri itu untuk mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan untuk sumber bekalan air.
Awal Februari lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk disalurkan kepada MADA sebagai insentif untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Beliau berkata, program peningkatan produktiviti itu dilancarkan pada akhir bulan itu.
“(Ini) usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan (program berkenaan pada) akhir bulan ini Insya-Allah.
“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette